Al-Quran merupakan kalamullah dan wahyuNya, diturunkan kepada Rasulullah S.A.W. melalui malaikat Jibril sebagai kitab dalam bahasa arab, untuk kaum yang mengetahui (berilmu), sebahai pemberi khabar gembira dan peringatan, sebagaimana firman Allah Ta'ala;
"Dan sesungguhnya al-Quran in benar-benar diturunkan oleh Tuhan semeta alam. Ia dibawa turun oleh ar-Ruh al-Amin (Jibril) ke dalam hatimu (Muhammad) agar engkau menjadi salah seorang antara orang-orang yang memberi peringatan, dengan bahasa arab yang jelas." [Asy-Syu'araa':192-195]
Dengannyalah Rasulullah S.A.W. menyampaikan kepada umatnya, sepertimana yang diperintahkan Allah;
"Wahai Rasul! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan dari Tuhanmu kepadamu." [Al-Maa'idah:67]
Apa yang disampaikan oleh Nabi adalah kalamullah. Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Adakah kamu ingin menghalangiku untuk aku menyampaikan kalamullah." [Hadith daripada Jabir, beliau berkata: "Adalah Rasulullah menampilkan dirinya dalam rangka menjelaskan pendiriannya, baginda berkata:"Ketahuilah bahawa seorang lelaki telah membawaku ke tempat kaumnya. Sesungguhnya kaum Quraisy telah menghalangku untuk aku menyampaikan kalam Tuhanku." Dikeluarkan oleh Bukhari dalam kitabnya Khalq Af'aal 'Ibad 86,205, At-Tirmidzi 2925, Ibn Maajah 201, dan lainnya dengan sanad sahih.]
Kalamullah itulah yang dihafal di dada manusia, dibaca melalui lisan dan ditulis di mushaf-mushaf (lembaran-lembaran). Bagaimana pun cara orang yang membaca dan menghafalnya, di tempat dan keadaan manapun ia dibaca dan ditulis, semuanya merupakan kalam Allah. Ia adalah al-Quran yang sebenarnya dan kita katakan bahwa ia bukan makhluk. Maka sesiapa yang menyangka (beriktikad) bahawa al-Quran itu makhluk, maka dia adalah kafir terhadap Allah yang Maha Agung.
Syaikh Abu Uthman berkata; Aku telah mendengar (guruku) Al-Hakim Abu Abdillah Al-Hafidz -semoga Allah merahmatinya-. Dia berkata; Aku telah mendengar (al-Imam) Abal-Walid Hassan bin Muhammad berkata; Aku telah mendengar al-Imam Aba Bakrin, Muhammad bin Ishak bin Khuzaimah berkata; "Al-Quran adalah kalamullah, bukan makhluk. Maka sesiapa yang mengatakan bahawa Al-Quran adalah makhluk, maka dia adalah kafir terhadap Allah yang maha Agung. Tidak boleh diterima persaksiannya. Tidak boleh pula menziarahinya ketika dia sakit, tidak boleh menyembahyangkan jenazahnya, tidak boleh dikebumikan di tanah perkuburan orang-orang Islam dan dituntut agar dia segera bertaubat. Jika dia enggan, maka hendaklah dipancung lehernya. [Sanad sahih, Az-Zahabi menyebut dalam kitabnya "Tazkirah al-Huffadz" (2:728-729) secara ringkas.]
Ibnu al-Mahdi at-Tabari pernah menyebut dalam kitabnya "I'tiqaad" yang ditulisnya kepada penduduk negeri ini (tempat tinggal pengarang); bahawasanya mazhab Ahli Sunnah wal Jamaa'ah mengatakan bahawa Al-Quran adalah kalamullah subhanahu wa Ta'aala. Ia merupakan wahyuNya, kitab yang diturunkanNya, mengandungi perintah dan laranganNya. Ia bukan makhluk. Dan sesiapa yang menyangkanya makhluk, maka dia adalah kafir terhadap Allah yang maha Agung. Sesungguhnya al-Quran itulah yang dihafal di dada-dada kami, dan dibaca melalui lidah-lidah kami, dan yang ditulis di mashaf-mashaf kami. Ialah kalam (perkataan) yang diucapkan Allah Azza wa Jalla dengannya. Dan sesiapa yang mengatakan bahawa lafaz al-Quran itu makhluk ataupun mengatakan bahawa melafazkan dengannya adalah makhluk, maka dia adalah orang jahil, sesat dan kafir terhadap Allah yang Maha Agung.
Syaikh Abu Uthman berkata; "Sesungguhnya aku sebutkan bab ini daripada kitab Ibn Mahdi sendiri kerana sangkaan baikku terhadapnya. Dia adalah orang yang mengikuti As-Salaf Ahlul Hadith berpandukan dari apa yang disebutkannya itu. Sedangkan dia merupakan orang yang luas ilmunya dalam ilmu kalam, banyak menghasilkan karya-karya penulisan berkaitan ilmu kalam, dan merupakan orang yang terkemuka di kalangan ahlinya."
Abu Abdillah al-Hafiz -semoga Allah merahmatinya- telah memberitakan kepada kami, beliau berkata; Aku telah membaca tulisan Abu Amr, dia berkata; Aku telah mendengar Abu Uthman Said bin Asykaab (As-Syash), dia berkata; Aku telah bertanya kepada Ishak bin Ibrahim (di negeri Nisaabur) tentang lafaz al-Quran, maka dia pun menjawab; "Tidak sepatutnya perkara ini dipersoalkan. Al-Quran adalah kalamullah, bukan makhluk."
(Abu Ja'far) Muhammad bin Jarir At-Tabari -semoga Allah merahmatinya- telah meyebutkan dalam kitabnya "I'tiqaad" yang dikarangnya dalam masalah ini. Dia berkata; "Adapun yang mengatakan bahawa lafaz-lafaz al-Quran (adalah makhluk) maka tidak terdapat satu athar pun yang kita ketahui memperkatakannya, tidak terdapat athar daripada sahabat ataupun tabi'in di mana ucapan mereka yang mengandungi bimbingan dan petunjuk sudah mencukupi untuk kita ikuti. Di antara mereka ialah Imam Abu Abdullah -Ahmad bin Hanbal- semoga Allah merahmatinya.
Abu Ismail At-Tirmidzi telah menceritakan kepadaku, dia berkata; Aku telah mendengar Abu Abdullah - Ahmad bin Hanbal- semoga Allah merahmatinya, beliau berkata; "Al-Lafziyyah (orang yang mengatakan Al-Quran adalah makhluk) merupakan golongan Jahmiyyah, Allah Taala berfirman;
"Maka lindungilah dia supaya dia dapat mendengar kalam (perkataan) Allah." [at-Taubah: 6]
Beliau meneruskan ucapannya; "Daripada siapakah dia mendengar (sekiranya bukan dengan lafaz al-Quran!)?" [Isnadnya sahih]
Pengarang berkata; (Kemudian) aku telah mendengar dari kalangan sahabat kami. Mereka pernah menyebut ucapan Imam Ahmad bin Hanbal. Beliau berkata; " Sesiapa yang mengatakan lafaz al-Quran adalah makhluk maka dia adalah Jahmiy." [Riwayat Abdullah bin Ahmad dalam kitabnya As-Sunnah m.s. 1:165 daripada ayahnya (Imam Ahmad bin Hanbal)] dan barangsiapa yang mengatakan al-Quran bukan makhluk adalah mubtadi' (ahli bid'ah) -kerana ucapan seperti itu tidak pernah diucapkan oleh salafussoleh."
Muhammad bin Jarir berkata; "Tidak ada ucapan yang boleh untuk kami ucapkan kecuali apa yang diucapkannya (Imam Ahmad) kerana tidak ada imam yang layak untuk kami ikuti melainkan beliau. Ia sudah mencukupi dan memadai. Beliau adalah imam yang diikuti. -semoga Allah merahmati dan meredhainya-
Ucapan-ucapan di atas tadi saya nukilkan daripada Muhammad bin Jarir, daripada karyanya "I'tiqad". Beliau telah menafikan dirinya daripada semua tuduhan yang dilontarkan kepadanya, yang boleh mengeluarkannya daripada jalan as-Sunnah dan cenderung kepada sesuatu bid'ah. Apa yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad -semoga Allah meridhainya- bahawa al-Lafdziyyah ialah golongan Jahmiyyah adalah benar. Sesungguhnya dia (Imam Ahmad) berkata demikian kepada Jaham bin Safwan dan golongannya menyatakan dengan jelas bahawa al-Quran adalah makhluk.
Manakala mereka yang mengatakan bahawa lafaz al-Quran itu makhluk, sebenarnya mereka secara perlahan-lahan berselindung di sebalik ucapan mereka itu sehingga setelah diberi kesempatan, akhirnya mereka tetap juga mengatakan bahawa Al-Quran adalah makhluk. Mereka takut kepada Ahli Sunnah pada zaman itu untuk menyatakan bahawa al-Quran itu adalah makhluk secara terang-terangan, lalu mereka menyembunyikan pegangan sebenar mereka dengan menggunakan pendekatan secara beransur-ansur bertujuan agar mereka tidak dikatakan golongan Jahmiyyah di mana mereka adalah syaitan-syaitan manusia yang menghiasi kata-kata di kalangan mereka dengan tipu daya, lalu mereka sebutkan ucapan seperti ini.
Mereka bermaksud untuk menyatakan bahawa al-Quran dengan lafaz kita adalah makhluk. Maka dengan demikian Imam Ahmad menamakan mereka Jahmiyah. Diriwayatkan juga bahawa beliau pernah berkata; Orang yang mengatakan lafaz al-Quran itu makhluk (Lafdziyah) lebih buruk keadaannya daripada golongan Jahmiyah.
Adapun yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Jarir daripada Ahmad, beliau mengatakan;"Sesiapa yang mengatakan lafaz al-Quran bukan makhluk maka dia adalah mubtadi' (orang yang membuat bid'ah)". Yang dimaksudkan dengan ucapan beliau ialah bahawa salafus-shalih di kalangan ahli sunnah tidak pernah memperkatakan dalam masalah ini dan mereka sendiri tidak ada sesuatu yang perlu untuk mengisyaratkan kepadanya. Wujudnya perkataan seperti ini daripada golongan pelampau yang selalu mendatangkan bid'ah dan mereka suka membahas perkara-perkara yang dilarang oleh agama daripada memperkatakannya berupa ucapan-ucapan yang membawa kepada kesesatan-kesesatan. Mereka membahasnya, sedangkan salafus-shalih di kalangan Ulama' Islam tidak ada yang membahaskannya. Maka Imam Ahmad mengatakan bahawa ucapan seperti ini adalah bid'ah dan orang-orang yang berpegang teguh dengan agama Islam akan meninggalkannya. Dia tidak akan mengatakannya (al-Quran bukan makhluk) sepertimana juga bid'ah-bid'ah yang lain. Dia merasa cukup dengan apa yang telah diucapkan oleh ulama salaf yang perlu diikuti bahawa Al-Quran adalah kalamullah. Tidak boleh menambah ucapan selain daripada ucapan ini. Sesiapa yang mengatakan al-Quran adalah makhluk maka mereka menghukuminya sebagai kafir.
Pengarang berkata; Dan al-Hakim Abu Abdillah Al-Hafiz -semoga Allah merahmatinya- telah memberitakan kepada kami di dalam kitabnya "At-Tarikh" yang dikarangnya untuk ditujukan kepada penduduk Nisabur dan ulama'nya, beliau berkata; Telah menceritakan Abu Bakar Muhammad bin Abdullah Al-Jarrahi kepada kami di negeri Marru', beliau berkata; Telah menceritakan kepada kami Yahya bin Sasawih daripada ayahnya -Abdul Karim Al-Yasykuri, beliau berkata; Wahhab bin Zum'ah berkata; Ali al-Basani telah memberitakan kepadaku, beliau berkata; Saya telah mendengar Abdullah bin al-Mubarak -semoga Allah merahmatinya- berkata;"Sesiapa yang kufur (mengingkari) satu huruf daripada al-Quran, maka dia telah kufur terhadap al-Quran dan sesiapa yang berkata "Saya tidak beriman dengan kalam ini (Al-Quran)", maka dia telah kufur."


1 comments:
rajinnya awk type dr buku..bgs2
Post a Comment