Kita lihat seorang anak kecil melakukan kesalahan. Anak kecil itu adalah anak kita. Niat kita baik, kita ingin menasihati anak itu supaya meninggalkan kesalahan tersebut. Tapi kita terus menegur kesalahannya di khalayak ramai. Banyak mata yang memerhati.
Anak itu berasa malu. Malah mungkin timbul kemarahan dan kebencian dalam dirinya atas tindakan kita yang menegur salahnya di hadapan rakan-rakannya dan orang ramai yang tidak dikenalinya. Itu satu aib baginya.
Lantas hatinya menjadi keras. Apabila hati telah menjadi keras, sukar untuk dia menerima nasihat itu, walaupun dia tahu nasihat itu benar. Dia menjadi semakin jauh, malah menjauhkan diri dari mendengar nasihat kita lagi. Tutup telinga.
Itu lumrah manusia. Kita juga, pasti lebih mudah menerima nasihat andai kesalahan kita ditegur secara baik, dan bukan di khalayak ramai sampai satu dunia tahu kita buat salah.
Seorang pemimpin juga ada lumrah dan fitrah seperti anak kecil itu. Pemimpin negara juga adalah seorang manusia. Bukan robot yang tak ada perasaan.
Sekiranya kita menegur salah pemimpin negara sama seperti cara kita menegur anak kecil itu, jangan harap teguran itu akan membawa sebarang kebaikan atau perubahan. Kita mungkin dipandang hebat oleh manusia kerana mampu membidas orang, tapi usaha itu ternyata sia-sia dan tidak membuahkan hasil. Nasihat yang disampaikan itu bukan saja tak meresap masuk ke dalam hati, malah mana-mana hati manusia pun tak sudi nak tersentuh dengan nasihat seperti itu.
Sebab tu Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam yang bijaksana 1500 tahun dahulu kala lagi dah ajar kepada kita,
“Barangsiapa yang hendak menasihati pemerintah dengan suatu perkara maka janganlah ia tampakkan di khalayak ramai. Akan tetapi hendaklah ia memegang tangan penguasa itu dengan empat mata. Jika ia menerima maka itu (yang diinginkan) dan jika tidak, maka sungguh ia telah menyampaikan nasihat kepadanya. Dosa bagi dia (yang meninggalkan nasihat yang baik) dan pahala baginya (orang yang menasihati dengan cara yang baik).” - Hadits ini dikeluarkan oleh Imam Ahmad, Al Khaitsami dalam Al Majma’ 5/229, Ibnu Abi Ashim dalam As Sunnah 2/522, Abu Nu’aim dalam Ma’rifatus Shahabah 2/121. Riwayat ini banyak pendukung sehingga hadits ini kedudukannya shahih.
Pandai tak Nabi kita?
P/s: Budi bahasa budaya kita.


1 comments:
Assalamualaikum...
Andaikata kita ikuti sunnah Nabi, pasti tiada masalah dalam menegur sesiapa pun...
Post a Comment