إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره ونعوذ بالله من شرور أنفسنا وسيئات أعمالنا من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا

أما بعد, فإن أصدق الحديث كتاب الله وأحسن الهدي هدي محمد وشر الأمور محدثاتها وكل محدثة بدعة وكل بدعة ضلالة وكل ضلالة في النار


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang,

Segala puji bagi ALLAH, kami memuji-Nya & kami memohon pertolongan daripada-Nya & kami memohon keampunan daripada-Nya. Dan kami berlindung dengan Allah daripada keburukan diri kami dan dari keburukan perbuatan kami. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tiadalah kesesatan baginya, dan siapa yang disesatkan oleh Allah maka tiadalah petunjuk baginya. Aku bersaksi bahawa tiada ILAH selain ALLAH yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan rasul-Nya.

Saturday, January 01, 2011

Peliharalah Maruah Ahli Keluargamu!

Adalah menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk menjaga dan memelihara maruah keluarganya, bukan menyebarkan aib mereka di khalayak umum. Dengan teknologi yang serba canggih pada hari ini, sebahagian daripada kita ada yang menggunakan kesempatan ini untuk melakukan aktiviti ghibah (mengumpat/mengunjing/membuka aib) sesama muslim, dan lebih menyedihkan lagi apabila aib yang disebarkan kepada khalayak umum itu adalah aib ahli keluarganya sendiri.

Demi tidak berprasangka buruk sesama muslim, kita menganggap perbuatan seumpama itu dilakukan oleh kebanyakan orang lantaran kejahilan atau ketidak-sengajaan. Dan tulisan ini dibuat untuk mengingatkan diri sendiri serta mereka yang pernah terjerumus di dalam dosa ini untuk kembali bertaubat dan menginsafi diri.

Apabila ditakdirkan oleh Allah, kita menjadi yang terbaik di kalangan ahli keluarga atau masyarakat sekalipun, ketahuilah bahawasanya ia adalah kerana nikmat taufiq, hidayah, dan rahmat yang telah Allah berikan kepada kita. Ianya bukanlah lantaran kepintaran dan kebijaksanaan kita semata-mata. Wajib kita mensyukuri nikmat tersebut dengan ketaatan kepada Allah, bukan dengan riya’, sombong, ‘ujub, takbur, dan melakukan kemaksiatan yang lainnya (seperti ghibah). Ia juga bukan satu lesen untuk kita merendah-rendahkan orang lain yang tidak diberi kelebihan tersebut menurut pandangan kita.

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olokkan) dan janganlah wanita-wanita (mengolok-olokkan) wanita lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari wanita (yang mengolok-olokkan).” (Al Hujuraat: 11)

Sekiranya ditakdirkan oleh Allah, kita menjadi satu-satunya anak yang berjaya di dalam keluarga, dapat menghabiskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi, mendapat pekerjaan yang baik, menggunakan seluruh kudrat untuk memperbaiki taraf ekonomi keluarga, sedangkan ahli keluarga kita yang lain menjadi sampah masyarakat, itu juga bukan lesen untuk kita menceritakan aib ahli keluarga kita kepada umum. Kalaulah bukan kerana Allah telah menutupi aib-aib kita…

Memang ada di beberapa tempat di mana ghibah itu dibenarkan di dalam Islam. (boleh baca di sini: Adakah Ghibah yang Halal?) Tapi menceritakan aib orang secara umum di laman sosial, blog, forum, itu bukanlah termasuk dalam mana-mana kategori ghibah yang dibenarkan di dalam Islam.

Pernahkah kalian mendengar kisah Nabi Ismail ‘alaihissalam yang diperintahkan oleh bapanya – Nabi Ibrahim ‘alaihissalam – untuk menceraikan isterinya?

Pada suatu ketika, Nabi Ibrahim pernah datang ingin menjenguk Nabi Ismail di rumahnya. Namun, baginda hanya menemui isteri Nabi Ismail sahaja. Nabi Ibrahim bertanya kepada wanita tersebut ke mana Nabi Ismail pergi. Isterinya menjawab, “Dia sedang mencari nafkah untuk kami.”

Nabi Ibrahim lalu bertanya tentang keadaan mereka. Isteri Nabi Ismail menjawab, “Kami dalam keadaan yang teruk dan hidup dalam kesempitan dan kemiskinan.”

Mendengar jawapan tersebut, sebelum pulang Nabi Ibrahim berpesan kepada wanita itu untuk menyampaikan salam kepada Nabi Ismail dan berpesan agar Nabi Ismail mengganti palang/daun pintunya.

Setelah Nabi Ismail kembali ke rumah, isterinya pun menceritakan peristiwa tadi dan menyampaikan pesan Nabi Ibrahim kepada suaminya. Mendengar hal tersebut, Nabi Ismail pun berkata kepada istrinya, “Tadi itu adalah bapaku. Dia menyuruhku untuk menceraikanmu, maka kembalilah engkau kepada orang tuamu.”

Nah, kalau kita asyik mengunjing keburukan serta aib ibu bapa kita, adik beradik kita kepada umum, bagaimana nanti kita ingin menjadi isteri shalihah atau suami shalih yang tidak mengunjing keburukan serta aib pasangan kita kepada orang ramai?

Semoga kita terselamat daripada menjadi isteri yang menyebarkan keburukan suaminya, anak yang menyebarkan keburukan kedua ibu bapanya, ibu bapa yang menceritakan keburukan anak-anaknya, saudara yang menyebarkan aib saudaranya yang lain. Semoga Allah memelihara kita daripada semua itu.

Sekiranya ada yang bertanya tentang kondisi keluarga kita, ceritakanlah yang baik-baik saja, mudah-mudahan itu menjadi satu doa buat mereka, dan mudah-mudahan Allah menutupi pula aib kita di akhirat kelak. –melainkan menceritakan keburukan mereka itu merupakan satu kemestian yang dapat mencegah keburukan yang lebih besar pada masa hadapan –

Dari shahabat Ibnu Umar radhiyallahu’anhu, Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda:

“Wahai sekalian orang yang beriman dengan lisannya yang belum sampai ke dalam hatinya, janganlah kalian mengganggu kaum muslimin, janganlah kalian menjelek-jelekkannya, janganlah kalian mencari-cari aibnya. Barang siapa yang mencari-cari aib saudaranya sesama muslim nescaya Allah akan mencari aibnya. Barang siapa yang Allah mencari aibnya nescaya Allah akan menyingkapnya walaupun di dalam rumahnya.” (H.R. At Tirmidzi dan lainnya)

Asy Syaikh Al Qahthani dalam kitab Nuniyyah halaman 39 berkata:

لاَتُشْغِلَنَّ بِعَيْبِ غَيْرِكَ غَافِلاً
عَنْ عَيْبِ نَفْسِكَ إِنَّهُ عَيْبَانِ

Janganlah kamu tersibukkan dengan aib orang lain, justeru kamu lalai Dengan aib yang ada pada dirimu, sesungguhnya itu dua keaiban.

(Lihat Nashihati linnisaa’ halaman 32)

Dua keaiban bermaksud: Apabila seseorang itu menyibukkan diri dengan aib orang lain maka hal itu merupakan aib baginya kerana ia telah terjatuh dalam kemaksiatan. Sedangkan apabila seseorang itu lalai dari melihat aib pada diri sendiri juga merupakan aib bagi dirinya. Kerana secara tidak langsung ia akan merasa dirinya sebagai orang yang sempurna. Padahal tidak ada manusia yang sempurna dan maksum kecuali para Nabi dan Rasul.

Dari shahabat Abu Dzar radhiyallahu ‘anhu, bahwa Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda:

مَنْ رَدَّ عِرْضَ أَخِيْهِ رَدَّ اللهُ عَنْ وَجْهِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Barang siapa yang mencegah terbukanya aib saudaranya niscaya Allah akan mencegah wajahnya dari api neraka pada hari kiamat nanti.” (H.R. At Tirmidzi no. 1931)

Dari shahabat Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda: “Apakah kalian mengetahui apa itu ghibah? Para shahabat berkata: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.” Kemudian beliauShallallahu’alaihi wasallam bersabda:

ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ ، إِنْ كَانَ فِيْهِ مَا تَقُوْلُ فَقَدِ اغْتَبْتَهُ وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيْهِ مَا تَقُوْلُ فَقَدْ بَهَتَّهُ

“Engkau menyebutkan sesuatu yang ada pada saudaramu yang dia membecinya, jika yang engkau sebutkan tadi benar-benar ada pada saudaramu sungguh engkau telah berbuat ghibah, sedangkan jika itu tidak benar maka engkau telah membuat kedustaan atasnya.” (Shahih Muslim)

Allah subhanahu wa Ta'ala juga telah melarang keras perbuatan mengunjing kesalahan orang lain ini;

“Dan janganlah kalian mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebagian kalian menggunjing (ghibah) kepada sebagian yang lainnya. Apakah kalian suka salah seorang diantara kalian memakan daging saudaramu yang sudah mati? Maka tentulah kalian membencinya. Dan bertaqwalah kalian kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat dan Maha Pengasih.” (Al Hujurat: 12)

Al-Imam Ibnu Katsir Asy-Syafi’i berkata dalam tafsirnya: “Sungguh telah disebutkan (dalam beberapa hadits) tentang ghibah dalam konteks celaan yang menghinakan. Oleh kerana itu Allah Subhanahu wa Ta’ala menyerupakan orang yang berbuat ghibah seperti orang yang memakan bangkai saudaranya. Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala (pada ayat di atas). Tentunya itu perkara yang kalian benci dalam tabi’at, demikian pula hal itu dibenci dalam syari’at. Sesungguhnya ancamannya lebih dahsyat dari permisalan itu, kerana ayat ini sebagai peringatan agar menjauh/lari (dari perbuatan yang kotor ini). ” (Lihat Mishbahul Munir)

Suatu hari Aisyah radhiyallahu’anha pernah berkata kepada Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam tentang Shafiyyah bahwa dia adalah wanita yang pendek. Maka beliau Shallallahu’alaihi wasallam bersabda:

لَقَدْ قُلْتِ كَلِمَةً لَو مُزِجَتْ بِمَاءِ البَحْرِ لَمَزَجَتْهُ

“Sungguh engkau telah berkata dengan suatu kalimat yang kalau seandainya dicampur dengan air laut niscaya akan merubah air laut itu.” (H.R. Abu Dawud 4875 dan lainnya)

Asy Syaikh Salim bin Ied Al Hilali berkata: “Dapat merubah rasa dan aroma air laut, disebabkan betapa busuk dan kotornya perbutan ghibah. Hal ini menunjukkan suatu peringatan keras dari perbuatan tersebut.” (Lihat Bahjatun Nazhirin Syarah Riyadhush Shalihin 3/25)

Dari shahabat Anas bin Malik radhiyallahu’anhu, bahwa Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda:

“Ketika aku mi’raj (naik di langit), aku melewati suatu kaum yang kuku-kukunya dari tembaga dalam keadaan mencakar wajah-wajah dan dada-dadanya. Lalu aku bertanya: “Siapakah mereka itu wahai malaikat Jibril?” Malaikat Jibril menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang memakan daging-daging manusia dan merusak kehormatannya.” (H.R. Abu Dawud no. 4878 dan lainnya)

Dari shahabat Jabir bin Abdillah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata: “Suatu ketika kami pernah bersama Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam mencium bau bangkai yang busuk. Lalu Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam berkata: ‘Apakah kalian tahu bau apa ini? (Ketahuilah) bau busuk ini berasal dari orang-orang yang berbuat ghibah.” (H.R. Ahmad 3/351)

Tentu saja kita juga tidak suka sekiranya ada saudara kita yang mengunjing-unjing kesalahan atau aib kita kepada orang lain. Oleh itu ketahuilah bahawa saudara, ahli keluarga, dan sahabat handai kita yang lain juga tidak akan pernah suka atau ridha sekiranya kita mengunjing kesalahan dan aib-aib mereka kepada sahabat-sahabat kita yang lain, walaupun mereka itu sama sekali tidak mengenali antara satu sama lain. Berhati-hatilah dalam berbicara, dan jauhilah mereka yang gemar melakukan ghibah sekiranya kita tidak mampu menghalangnya dengan tangan atau lisan kita.

“Dan orang-orang yang beriman itu bila mendengar perkataan yang tidak bermanfaat, mereka berpaling darinya, dan mereka berkata: “Bagi kami amal-amal kami dan bagimu amal-amalmu, semoga kesejahteraan atas dirimu, kami tidak ingin bergaul dengan orang-orang jahil.” (Al Qashash: 55)

Allahu Ta’ala A’lam.

Moga kita dapat sama-sama mengambil iktibar dan manfaat daripada perkongsian di atas.

و صلى الله وسلم على نبينا محمد

0 comments: