Perkara yang pasti terjadi kepada setiap manusia adalah;
- Kehilangan harta benda yang penting di saat ia amat diperlukan,
- Kehilangan orang yang dicintai, disayangi, dan dihormati,
- Kekurangan harta serta kelaparan,
- Ditimpa penyakit
Perasaan yang pasti wujud dalam diri setiap manusia apabila ia terjadi;
- Sedih
- Takut
- Sakit
Jangan persoalkan apabila ia ditimpakan ke atas kita, kerana setiap musibah itu adalah suatu yang dijanjikan ke atas setiap manusia termasuk kita, ibu ayah kita, adik-adik kita, kakak-kakak kita, kawan-kawan kita, orang-orang yang kita cintai, pemimpin-pemimpin kita, tanpa ada daya yang dapat menepisnya, apabila Allah telah berfirman;
Dan sungguh akan Kami berikan cubaan (ujian) kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (QS Al-Baqarah: 155)
Kalau kita sedih pada hari ini, siapakah manusia yang tidak pernah merasa sedih? Kita takut, orang lain juga ada ketakutan mereka sendiri. Bezanya cuma, apakah ianya dizahirkan, atau disembunyikan. Tiada seorang pun yang dapat terlepas dari perasaan-perasaan ini. Ia bukan untuk dirasai oleh seseorang, tapi rasa itu untuk semua orang.
Sekiranya ada antara kita yang hidupnya senang, sentiasa tenteram, tidak pernah merasa takut atau sedih hati, itu tidak mungkin dibiarkan oleh Allah yang Maha Adil. Kesedihan, kehilangan, kelaparan, kesakitan yang kita alami itu adalah bukti keadilan Allah ke atas setiap hamba-Nya. Dan itu juga yang bakal menentukan siapa di kalangan hamba-Nya yang beriman dengan Qadha' dan Qadar-Nya serta bersabar.
Bersabarlah. Mudah-mudahan berita gembira itu milik kita.
Pohonlah kesabaran dari Allah, kerana tidaklah kesabaran itu melainkan pertolongan dari Allah. (16:127)
Suatu ketika Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah ditanya, “Siapakah orang yang paling berat cubaannya?”. Maka baginda menjawab, “Para Nabi, kemudian orang yang seperti mereka sesudahnya, dan orang semacam mereka berikutnya. Seseorang itu akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Apabila orang itu kuat agamanya maka semakin keras ujiannya. Kalau agamanya lemah maka dia akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Maka musibah dan ujian itu sentiasa menimpa seorang hamba sehingga dia ditinggalkan berjalan di atas muka bumi dalam keadaan bersih dari dosa.” (Hadits hasan shahih riwayat at-Tirmidzi)
Analoginya mudah, ketika peperiksaan/ujian di sekolah, seorang murid darjah satu tidak akan diuji dengan soalan yang disediakan untuk murid darjah enam. Murid darjah enam tidak ditanya soalan setaraf pelajar tingkatan 5, dan pelajar tingkatan 5 pula tidak ditanya soalan yang sesuai dengan tahap pelajar ijazah. Dan seterusnya. Ujian peringkat tingkatan 5 pastilah lebih mudah berbanding ujian peringkat ijazah sarjana muda, kerana level mereka lebih rendah. Selepas berjaya dalam setiap ujian tersebut, barulah mereka dapat "naik" ke peringkat lebih tinggi. Seperti itulah kehidupan, diuji sesuai dengan kemampuan. Semakin hebat seseorang itu, semakin hebatlah ujian yang ditanggungnya.
Anda mengadapi ujian yang berat? Tahniah, anda seorang yang hebat.
Say..



0 comments:
Post a Comment